Saturday 2 April 2016

PERSOALAN.....ADAKAH RAWATAN UBAT ANTIBIOTIK BERKESAN SEKARANG INI....

Seringkali apabila pesakit berjumpa doktor disebabkan demam atau flu biasa, mereka pastinya meminta agar doktor memberikan antibiotik agar kesakitan mereka cepat sembuh. Namun, disebalik kebiasaan ini, adakah anda sememangnya memerlukan antibiotik?

Dunia perubatan kian buntu apabila menyaksikan peningkatan kes antibiotic resistance atau kelalian antibiotik. Kelalian antibiotik ini bermaksud, kuman atau bakteria yang biasanya dapat dirawat dan dibunuh dengan antibiotik tertentu telah berubah dan menjadi lali kepada antibiotik tersebut menyebabkan penyakit tersebut sukar dirawat. Kelalian antibiotik merupakan proses semula jadi dimana kuman atau bakteria telah berubah keadaan dan sifat biologinya menyebabkan ia tidak lagi mudah dimusnahkan oleh antibiotik. Maka, muncul lah istilah yang dinamakan Superbugs iaitu kuman bakteria yang telah kebal kepada pelbagai jenis dan kumpulan antibiotik yang ada pada hari ini. Namun, Superbugs ini bukanlah hero bayangan dalam komik kanak-kanak, namun, mereka adalah mimpi ngeri dunia perubatan moden masa kini.

Bagaimanakah Superbugs ini terhasil?

Di dalam populasi kuman bakteria yang besar didalam badan manusia, terdapat sebahagian kecil bakteria yang tidak dipengaruhi oleh antibiotic disebabkan kelalian semula jadi atau mutasi secara rawak. Apabila individu tersebut diberikan rawatan antibiotik untuk mebunuh bakteria tersebut, sebahagian kecil bakteria tersebut akan terus hidup disebabkan tidak terkesan oleh antibiotik. Maka, bakteria yang hidup tadi akan membiak semula dengan lebih banyak dan pantas, dan mengalami evolusi yang menyebabkannya mejadi lali kepada antibiotik. Bakteria ini dapat tersebar dengan sangat pantas dan dapat menghasilkan koloni bakteria baru hanya dalam tempoh sesingkat 20 minit. 

Selain itu, terdapat juga virus yang dinamakan Bacteriophages yang boleh memindahkan kelalian antibiotik kepada 2 bakteria yang berkaitan. Trait bakteria yang telah lali tersebut akan disimpan didalam virus tersebut dan kemudiannya akan disuntik dan dipindahkan ke dalam mana-mana bakteria baru yang kemudiaannya menyebabkan kelalian.

Kesan Superbugs

WHO pada tahun 2014 menganggarkan kadar kelalian antibiotik meningkat secara mendadak. Namun begitu, kebuntuan dunia perubatan tidak dapat dipecahkan dek kerana kadar penghasilan dan penemuan antibiotik baru pada masa kini amat rendah. Dekad ini menyaksikan kadar penemuan dan penghasilan antibiotik baru tidak lagi serancak seperti sebelumnya dan kebanyakkan antibiotik yang dihasilkan sebelum ini telah pun menjadi lali. Tahukah anda bahawa dunia perubatan sudah hampir 25 tahun tidak menghasilkan sebarang antibiotik baru bagi melawan kuman bakteria?

Hal ini menatijahkan masyarakat kita terdedah kepada pelbagai kuman bakteria yang boleh menyebabkan kematian. Laporan WHO menunjukkan kadar kelalian antibiotik sangat tinggi kepada kuman-kuman Escherichia Coli, Klebsiella pneumonia dan Staphylococcus aureus yang biasanya menyebabkan masalah kencing kotor, jangkitan paru-paru,  jangkitan kuman pada luka dan juga jangkitan melalui saluran darah. Laporan daripada US Centers for Disease Control and Prevention (CDC) menunjukkan hampir 2 juta populasi dunia dijangkiti oleh Superbugs pada setiap tahun dengan kadar kematian sehinga 23,000.

Selain itu, bagi menentang kuman superbugs ini, kita terpaksa kembali merawat pesakit menggunakan antibiotik kuno yang diketahui sememangnya mempunyai kesan sampingan yang tinggi dan berbahaya. Namun, kita tidak punya banyak pilihan lain selain terpaksa menggunakan ubatan tersebut disebabkan kekurangan antibiotic yang dapat melawan superbug ini.

Antara Superbug yang kian meledak adalah MRSA (Methilin resistant Staphylococcus Aureus) yang banyak menyebabkan jangkitan pada kulit seperti bisul dan nanah yang boleh merebak dengan pantas ke dalam salurah darah sehingga menyebabkan kematian. CDC menganggarkan hamper 80,000 kadar jangkita MRSA dengan 11,000 kematian dicatatkan setiap tahun di Amerika Syarikat sahaja.  

Lebih menakutkan kita terkini muncul pula apa yang dinamakan Carbapenem-Resistent enterobacteriacea (CRE). Carbapenem merupakan kumpulan antibiotic yang sangat kuat yang digunakan untuk melawan jangkitan-jangkitan kuman yang telah lali. Ia dianggap benteng terakhir untuk superbugs ini. Kajian yang dilakukan pada tahun 2013 yang diterbitkan oleh The Journal of the Americal Medical Association menunjukkan kadar CRE sebanyak 2.93 per 100,000 populasi di Amerika Syarikat dan hampir kebanyakkannya dikaitkan dengan sejarah hospitalisasi.

Maka tidak mustahil dalam tempoh 20 tahun mendatang rawatan seperti chemotherapy dan pembedahan kecil tidak dapat lagi dilakukan kerana prosedur ini bergantung kepada antibiotik sekiranya superbugs ini tidak dapat dikawal. Kita akan kembali menghadapi zaman seperti mana sebelum penemuan antibiotik dimana batuk ringan dan luka kecil boleh menyebabkan kematian.

Foktor yang meledak penghasilan Superbugs

Antara faktor utama yang menyumbangkan kepada peningkatan kadar kelalian antibiotik dan penghasilan superbugs adalah disebakan kerakusan kita menyalahgunakan antibiotik. Sebenarnya, 75% daripada demam flu biasa adalah disebabkan oleh jangkitan virus yang tidak memerlukan antibiotik manakala 25% yang lainnya disebabkan oleh kuman bakteria yang memerlukan antibiotik. Kuman virus tidak akan terkesan oleh antibiotik walaupun diberikan dengan kadar yang banyak kerana ianya bersifat self-limiting dan akan mati dengan sendirinya. Maka, ramai dari pesakit yang dating ke klinik dan hospital meminta dan memaksa doktor memberikan antibiotik walaupun sebenarnya ia tidak diperlukan.

Selain itu, tabiat pesakit yang ingkar kepada nasihat dan arahan doktor yang mengarahkan untuk menghabiskan antibiotik untuk tempoh durasi tertentu walaupun telah sihat juga menyumbang kepada masalah ini.

Lebih parah terdapat juga premis-premis perubatan swasta yang sewenang-wenangnya memberikan rawatan antibiotik untuk kepentingan kewangan. Hal ini menatijahkan kadar pemberian antibiotik kepada pesakit yang tidak perlu amat tinggi di sektor swasta. Hal ini sewajarnya diambil perhatian serius bagi mengekang masalah Superbugs ini.

Selain itu juga, penghasilan superbugs ini disebabkan oleh pemberian antibiotik yang tidak terkawal dikalangan haiwan ternakan bagi tujuan penternakan. Kebanyakan haiwan ternakan diberi suntikan antibiotik bagi menjadikan haiwan tersebut lebih sihat dan tidak terdedah kepada penyakit-penyakit berjangkit.

Antara faktor lain yang menyumbang adalah disebabkan oleh syarikat farmaseutikal yang lebih ghairah membuat pelaburan dibidang penyelidikan rawatan bagi penyakit kronik seperti kencing manis dan darah tinggi yang menjanjikan pulangan yang lebih lumayan menyebabkan kerancakan penghasilan antibiotik baru kian suram.

Kesimpulan

Kesimpulannya, usaha untuk mengawal masalah superbugs memerlukan komitmen dan sokongan semua pihak. Masyarakat umumnya tidak menyedari akan bahayanya jika superbugs ini tidak terkawal. Proses pendidikan dan penerangan kepada masyarakat umum harus digiatkan agar timbul kesedaran bahawa superbugs ini adalah masalah yang kian mencengkam.

Sir Alexander Fleming, orang pertama yang mencipta antibiotik iaitu Penicillin pada tahun 1928 telah memberi amaran kepada kita berkenaan kelalian antibiotik dalam ucapannya ketika menerima Nobel Prize dalam bidang perubatan pada tahun 1945;

“The microbes are educated to resist penicillin and a host of penicillin-fast organism is bred out. In such cases the thoughtless person playing with penicillin is morally responsible for the death of the man who finally succumbs to infection with the penicillin resistant organism. I hope this evil can be averted”

------------------------------------------------

Penulis merupakan seorang doktor perubatan, graduan daripada sebuah universiti di Ireland..... Dr Nur Islam....

No comments:

Post a Comment